RSS

Pengertian Rukun Islam Yang Pertama

25 Apr
بسم الله الرحمن الرحيم
Pengertian Rukun Islam Yang Pertama :
شهادة أن لا إله إلا الله وأن محمدا رسول الله
“Bersaksi bahawa tiada ‘Ilah’ yang berhak dilakukan ibadat melainkan Allah dan Muhammad merupakan rasul Allah”
            Kalimah syahadah merupakan asas terpenting di dalam agama. Ia merupakan syarat untuk seseorang masuk ke dalam agama Islam dan syarat untuk mencapai syurga Allah. Apabila seseorang menyempurnakan syarat dan tuntutan syahadah maka ia layak untuk mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah.
            Oleh itu menjadi kewajipan bagi setiap manusia yang beragama Islam mempelajari makna kalimah syahadah dan memahaminya sebagaimana yang dikehendaki oleh Rob mereka. Tidak boleh dia jahil tentangnya kerana kejahilan akan menyebabkan dirinya terjebak ke dalam kemungkaran dan maksiat kepada Allah Yang Maha Agong.
            Pada siri ini kita akan mempelajari pengertian syahadah (لا إله إلا الله  ) yang dipanggil kalimah tauhid. Sabda Rasulullah :
من مات وهو يعلم أن لا إله إلا الله دخل الجنة
Maksudnya : “siapa yang mati dalam keadaan dia mengetahui bahawa tiada Ilah yang berhak disembah melainkan Allah (لا إله إلا الله  ) maka dia akan masuk ke dalam syurga”- riwayat Muslim
            Alangkah besarnya nilai kalimah tauhid ini. Manakah keuntungan yang lebih besar daripada kejayaan mencapai syurga Allah dan selamat daripada neraka-Nya. Firman Allah :
فمن زحزح عن النار وأدخل الجنة فقد فاز…
Maksudnya : “Sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka dia merupakan orang yang berjaya….”- surah Al-Imran 185
            Untuk memahami kalimah (لا إله إلا الله  ) ini kita perlu melihat daripada beberapa sudut :
1.   Pengertian ‘Ilah’
2.   Penafian adanya ‘Ilah’ pada kalimah (لا إله  )
3.   Menetapkan (Ithbat-إثبات  ) bahawa yang berhak terhadap uluhiyah (maksudnya yang berhak untuk dilakukan ibadat kepadanya ) hanyalah Allah. Makna ini terkandung di dalam kalimah (إلا الله  ).
Pengertian Ilah
            Kalimah ‘Ilah’ membawa makna ma’bud (معبود  ) ertinya yang dilakukan ibadat kepadanya. Apabila seseorang menyembah sesuatu, mengharap dan menghina diri kepadanya maka dia telah menjadikan perkara tersebut ‘ilah’ baginya. Ini kerana ibadat merupakan pengharapan dan penghinaan diri terhadap sesuatu yang agong yang berkuasa untuk memberi manfaat dan mendatangkan mudhorat.
Makna (لا إله  )
            Di dalam kalimah tauhid ini, kita bersaksi bahawa  tiada sesuatu pun berhak untuk disembah dan dilakukan ibadat kepadanya (لا إله  ) sama ada perkara tersebut adalah patung-patung, jin, manusia dan sebagainya kerana ia tidak berkuasa untuk mendatangkan manfaat atau memberi mudhorat. Kesemuanya adalah makhluk yang lemah, yang tunduk kepada kuasa yang lain iaitu Allah ‘azza wa jalla. Oleh itu Allah mengingkari perbuatan orang-orang musyrikin yang menyembah selain Allah di dalam firman-Nya :
ويعبدون من دون الله ما لاينفعهم ولا يضرهم وكان الكافرعلى ربه ظهيرا
Maksudnya : “dan mereka (orang musyrikin) melakukan ibadat kepada perkara selain Allah yang tidak dapat mendatangkan manfaat atau mudhorat. Orang yang kafir merupakan penolong (kepada syaitan untuk melakukan maksiat) terhadap Allah”- surah Al-Furqan ayat 55
Makna (إلا الله  )
            Setelah kita menafikan wujudnya ‘ilah’ maka kita ‘mengithbatkannya’ kepada Allah. Ini kerana Dia merupakan Rob yang mencipta segala apa yang ada di alam ini, yang berkuasa, yang memberi rezeki serta menghidup dan mematikan. Sesuatu yang memiliki kesempurnaan dan kekuasaan seperti inilah merupakan satu-satunya yang layak disembah. Fitrah meanusia mengakui bahawa yang mencipta dan mentadbir segala urusan alam ini adalah Allah ‘azza wa jalla. Firman Allah :
ولئن سألتهم من خلق السموات والأرض ليقولن الله
Maksudnya : “dan sekiranya kamu bertanya kepada mereka ( orang musyrikin) : siapakah yang mencipta langit dan bumi? Nescaya mereka akan menjawab : Allah”- surah Luqman ayat 25
            Manusia tidak akan mengatakan patung-patung yang mereka sembah atau nabi Isa atau jin merupakan pencipta langit dan bumi. Mereka mengetahui bahawa perkara-perkara tersebut merupakan makhluk yang tidak memiliki apa-apa kekuasaan. Yang berkuasa hanya Allah. Kalau begitu kenapakah kamu menyembah selain daripada Allah? Bukankah Allah telah memerintahkan supaya manusia melakukan ibadat kepadanya? Bukankah Allah memerintahkan supaya berdoa dan mengharap kepadanya? Firman Allah :
وقضى ربك ألا تعبدوا إلا إياه…..
Maksudnya : “dan Rob kamu telah memerintahkan supaya kamu tidak menyembah melainkan kepada-Nya…”- surah Al-Isra’ 22
وقال ربكم ادعوني أستجب لكم…..
Maksudnya : “dan Rob kamu berkata : Berdoalah kepadaku, maka Aku akan perkenankan buat kamu….” Surah Ghofir 60
            Dari sini kita mengetahui bahawa makna kalimah tauhid (لا إله إلا الله  ) adalah “Tiada Ilah yang berhak disembah dan dilakukan ibadat kepadanya melainkan Allah”. Oleh itu perlu pula kita mengetahui apakah makna ibadah yang diperintahkan supaya kita melakukannya hanya kepada Allah. Pengertian ibadat akan kita huraikan pada artikel yang akan datang insyaAllah.
Oleh: Al-Ustaz Abu Auzaie
 
Tinggalkan komen

Posted by di April 25, 2011 in Aqidah

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: